
Tag semua orang okeyh?
Keratan Akhbar Berita Harian (METRO) LANGKAWI: “Anak saya sempat menelefon ibunya sebelum kemalangan ngeri itu, namun panggilannya terputus selepas dirempuh van berkenaan.” Begitu kata Ridzuan Abdul Rahman, 41, bapa Nur Afipah Ainaa, 16, seorang daripada tiga pelajar yang maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah van pelancong dalam kemalangan di simpang lampu isyarat di Kampung Padang Gaung, Langkawi, semalam. Kejadian berlaku jam 12 tengah malam menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut akibat parah di badan dan kepala selepas van terbabit gagal mengelak motosikal dinaiki mereka yang cuba melakukan pusingan U. Ridzuan berkata, Nur Afipah bersama rakannya, Nor Hazwani Mansor, 16, membonceng motosikal ditunggangi Yasmin Johari, 17, menghubungi isterinya, Rohana Abdul Hamid, 38, beberapa saat sebelum kejadian. “Selepas panggilan terputus, isteri saya cuba menghubunginya, namun gagal menyebabkan dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku,” katanya. Menurutnya, perasaan itu ternyata benar selepas dimaklumkan abang kembar Nur Afipah, Mohd Afiq Akmal, 16, bahawa adiknya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan. Ridzuan berkata, lebih memilukan apabila dia mengetahui kejadian menimpa Nur Afipah daripada Mohd Afiq Akmal sedangkan lokasi kemalangan berkenaan hanya 100 meter daripada rumah mereka di Taman Medan Berjaya di Langkawi. Katanya, apabila mendapat tahu anaknya maut dalam kemalangan itu, dia mengalirkan air mata sejurus mengenangkan hasrat arwah mahu menghadiahkan rumah kepada mereka beberapa jam sebelum kejadian. “Anak saya seorang periang dan terlalu rapat dengan kami termasuk kembar lelakinya yang belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur. “Saya mempunyai dua anak dan selepas ketiadaannya, hanya tinggal anak lelaki yang sentiasa mengingatkan saya kepada arwah,” katanya. Jenazah Nur Afipah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kuah, manakala dua rakannya masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Penghulu dan Tanah Perkuburan Islam Masjid Kelibang, Langkawi.
Polis ambil keterangan dari pemandu vanPolis sudah mengambil keterangan daripada pemandu van pelancong berusia 38 tahun selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan mengakibatkan kematian tiga remaja perempuan di persimpangan lampu isyarat Kampung Padang Gaung, di sini, semalam.Kejadian berlaku jam 12 tengah malam apabila motosikal dinaiki tiga remaja yang tidak memakai topi keledar terbabit cuba membuat pusingan U sebelum dirempuh van berkenaan yang gagal mengelak. Ketiga-tiga mangsa, Yasmin Johari, 17, serta Nor Hazwani Mansor dan Nur Afipah Ainaa Ridzuan, masing-masing berusia 16 tahun, disahkan mati di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harith Kam Abdullah ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki tiga remaja itu cuba membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat berkenaan.“Siasatan awal mendapati van pelancong terbabit dari Ulu Melaka menghala Kuah gagal mengelak motosikal dinaiki tiga remaja itu yang cuba melakukan pusingan U di persimpangan lampu isyarat sebelum merempuhnya.“Berikutan itu, ketiga-tiga mangsa yang parah di badan dan kepala disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu van terbabit terselamat,” katanya.